top of page

SAKURA KOTA MARUDU LEGASI SIAPA

  • Writer: The Voter Post
    The Voter Post
  • Sep 4
  • 3 min read
ABD SAID OMBOK
ABD SAID OMBOK

SEPANJANG minggu ini, apabila ke Pekan Kota Marudu saya terus sahaja menuju pasar, kurang memerhati sekeliling ketika memandu.


Dan apabila ada yang mengajak bergambar di jogging trek Pekan Kota Marudu, saya rasa hairan mengapa tiba-tiba ada keperluan bergambar di sana. Tidak sedar ada fenomena bunga Sakura di Pekan ini.


Memanglah ada saudara mara saya bercakap tentang "musim bunga" di Kota Marudu sebelum ini, tetapi tidak menyangka pohon-pohon sakura yang selama ini nampak pokok biasa kini berbunga, menyerikan pekan ini.


Bahkan, jikalah penerbit filem nampak keindahan ini mungkin mereka menjadikan tempat ini sebagai lokasi penggambaran.


Kepada yang rajin, kirimlah foto hamparan kelopak sakura ini kepada Shahrukh  Khan, manalah tahu dia bawa Kajol berbubut-bubutan di pekan ini macam dalam filem  Kuch Kuch Hota Hai.


Peristiwa semula jadi yang luar biasa ini  telah menarik perhatian tempatan dan serantau, terutamanya melalui media sosial.


MENAWAN: Pekan Kota Marudu telah menjadi pusat tontonan bunga, mengubah taman awamnya menjadi destinasi popular.
MENAWAN: Pekan Kota Marudu telah menjadi pusat tontonan bunga, mengubah taman awamnya menjadi destinasi popular.

Tiba-tiba pekan Kota Marudu telah menjadi pusat tontonan bunga, mengubah taman awamnya menjadi destinasi popular bagi orang awam.


Limpahan bunga merah jambu dalam bentuk kelopak telah  menarik pengunjung dari daerah jiran seperti Pitas, Matunggong, dan Kudat, telah mencetuskan kegembiraan dan perhatian yang meluas, terutamanya melalui platform media sosial di mana foto-foto dengan kapsyen "seperti di Jepun" telah dikongsi secara meluas.


Pada tahap ini, wajar juga kita mengetahui siapakah yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan landskap Sakura Malaysia di Pekan Kota Marudu yang begitu indah ini puluhan tahun yang lalu?


Masih ingat Abd Said Ombok? Tentu sahaja ramai yang masih ingat. Said ialah mantan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kota Marudu.


INDAH: Fenomena bunga Sakura di Pekan Kota Marudu pasti menggamit hati pengunjung.
INDAH: Fenomena bunga Sakura di Pekan Kota Marudu pasti menggamit hati pengunjung.

Menurut Said, "memang ini saya yang rancang untuk taman dalam bandar. Kebetulan kosong pada masa itu saya lihat tiada tempat rekreasi warga pekan terutama pada masa pagi dan petang, makanya saya tercetus idea untuk merancang buat jogging track dan tanam pokok yang sesuai.


"Syukur proposal saya diluluskan. Seingat saya antara tahun 2004-2005. Alhamdulillah nampak hasil sentuhan saya sekarang, walau pun tidak seberapa untuk dibanggakan."


Ditanya apakah konsep landskap berkenaan, Said menyatakan, "Riadah melalui taman awam - selain aktiviti kesihatan melalui senaman juga tempat untuk keceriaan hasil daripada flora yang mewarnai alam melalui pokok yang terpilih."


Menurut semakan saya di internet, ​fenomena berbunga secara besar-besaran yang menakjubkan bagi Sakura Malaysia ini yang secara sanintifiknya dipanggil Tabebuia Rosea bukanlah acara bermusim yang tetap tetapi tindak balas fisiologi langsung kepada keadaan persekitaran yang spesifik dan sering kali ekstrem.


Pencetus utama fenomena ini adalah tempoh cuaca panas atau kering yang berpanjangan.

Kerana jarang berlaku maka fenomena ini amatlah mengkagumkan terutama golongan yang suka melihat keindahan bunga.


Bagi mereka yang mengharapkan ada lagi hamparan kelopak sakura di Pekan Kota Marudu ini tahun hadapan, mungkin akan kecewa kerana fenomena ini adalah berbeza dengan kitaran berbunga flora biasa yang biasanya dapat dijangka.


​Bila menyebut bunga Sakura, tentulah cepat dapat dikaitkan dengan negara Jepun.


Bagi masyarakat Jepun, bunga sakura tidak hanya memiliki makna falsafah yang dalam, tetapi juga kaya dengan mitos dan legenda. 


Semakan saya di  internet tentang sakura menyebut bahawa antara legenda yang paling terkenal adalah kisah Uba-zakura, atau Pohon Sakura Ibu Susu.


Pohon yang sering disebut "sakura" di Indonesia, seperti di Surabaya, dan di Malaysia, seperti di Kota Marudu, sebenarnya adalah spesies Tabebuia, seperti Tabebuia rosea dan Tabebuia chrysantha atau Tecoma dari keluarga Bignoniaceae.


Pohon-pohon ini berasal dari Amerika Tengah dan Selatan. Secara fisik, bunganya memiliki ciri khas berbentuk terompet dengan 5 kelopak.


Sangat indah, bagi parti politik tempatan yang berasa logo partinya tidak cantik, mungkin hamparan kelopak berbentuk trompet 5 kelopak memberi inspirasi pembuatan lambang parti yang lebih memukau pengundi.


​Kitapun hairan mengapa di Kota Marudu yang letaknya di khatulistiwa, tidak pernah mengalami musim sejuk dapat menghasilkan hamparan kelopak trompet 5 kelopak ini?


Jika mahu fenomena ini muncul lagi di tahun hadapan, maka Kota Marudu memerlukan kemarau selama 60 hari secara berterusan.


Dan kepada Abd Said Ombok, bukan  kerana kamu adalah adik sepupu kami, saya mewakli masyarakat Kota Marudu terutama pencinta keindahan, mengucapkan  sebesar-besar tahniah dan penghargaan atas legasi yang ditinggalkan.


Terimalah sekuntum bunga Sakura untuk anda.


Credit: Utusan Borneo

 
 
 

Comments


Home_BG_1.png

SUBSCRIBE
TO OUR
NEWSLETTER

Newsletter_IMG.png
TVP Logo File 2000x-01.png

© 2021 The Voter Post

bottom of page