
EVOLUSI ALUR MENTAJALLI GAGASAN BESAR
- The Voter Post

- Aug 12
- 5 min read

SANGAT bermakna Persidangan Parti gagasan Rakyat Sabah (PGRS) tahun 2024. Ada buku dalam beg perwakilan yang menceritakan riwayat hidup Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Kerana tebal dan berasa bersalah juga mencuri-curi baca ketika pemimpin-pemimpin PGRS sedang berapi-api berhujah, saya menangguh niat membaca.
Hanya beberapa bulan kemudian barulah saya ada kesempatan membacanya, bukan sekali tetapi beberapa kali terutama halaman-halaman yang memukau perhatian saya.
Meneliti buku itu, nampak mahal juga tetapi tidak dapat dielak daripada menconteng-conteng beberapa halaman.
Begitulah nasib buku yang menjadi rujukan saya apabila saya menulis buku. Sesudah memikirkan beberapa judul, akhirnya saya memilih Membaca Minda Hajiji sebagai judul buku.
Kerana idea menulis tidak berapa turun di Tiny House di Bian Republic, Kg. Damai, Tandek mendorong saya ke Borneo Tree House, Ratau, Manggatal.
Di sana ada tempat selesa untuk menulis. Ada bilik besar dan di sebelahnya ada dapur besar yang selesa memasak-masak.
Dan yang lebih menarik, tempat itu sunyi yang membolehkan turunnya ilham anugerah Tuhan semesta alam kepada saya untuk menyiapkan Membaca Minda Hajiji.
Namun, idea bukannya turun dalam satu tempat. Dipaksa, tidak juga turun.
Idea banyak tetapi bila diturunkan ke word tidak menjadi. Stress, saya ke Sipitang, di Rest House, mengharapkan “awan-awan yang terapung turun menjadi hujan.”
Ini adalah ungkapan Sasterawan Negara A. Samad Said yang membawa maksud, idea yang masih dalam fikiran adalah awan-awan terapung, manakala turun menjadi hujan adalah proses menurunkan idea ke kertas sebagai karya.
Sambil menghadap laut, terhibur melihat ombak-ombak nipis yang berlumba-lumba ke pantai, saya menyambung menulis.
Hanya sehari sahaja saya di sana. Idea tidak turun. Sebabnya mungkin, bila teringat betapa banyaknya bayaran semasa check out, idea cepat terganggu.
Maklumlah time gaji besar sudah limpas. Kini—sebagai pesara—RM20 sudah cukup sakit untuk dibelanjakan.
Sebaiknya pulang ke Kota Marudu dengan harapan buku cepat siap. Di Tiny House, mampu menulis beberapa halaman saja sebelum saya memutuskan sebaiknya saya ke Borneo Tree House, Manggatal betul-betul mahu siapkan buku.
Akhirnya Membaca Minda Hajiji siap sesudah tiga minggu bersengkang mata—menahan diri daripada tidur, berjaga hingga larut malam, bahkan hingga ke subuh.
Puji dan syukur kehadirat Tuhan Yang Maha Esa atas rahmat dan karunia-Nya, memberikan kuasa kepada pancaindera saya deria lihat, deria dengar, deria rasa, deria bau dan deria sentuh untuk menyiapkan buku Membaca Minda Hajiji berdasarkan pengamatan saya kepada buku My Journey, karya Ketua Menteri Sabah ke-16.
Buku Membaca Minda Hajiji ditulis sebagai usaha untuk memberikan pemahaman lebih mendalam tentang My Journey, autobiografi Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.
Saya mendapati My Journey adalah sarat dengan resepi kejayaan yang wajar menjadi pedoman kepada pemimpin-pemimpin muda untuk memimpin Sabah.
My Journey bukan sahaja sebuah kisah peribadi tetapi juga satu blueprint yang mengandungi alur-alur semulajadi yang mengapung dan melayarkan Hajiji ke Menara Kinabalu.

Sekian lama, alur-alur itu mengalami evolusi dalam minda Hajiji, mentajallikan dua gagasan besar SMJ dan GRS.
SMJ adalah singkatan bagi Sabah Maju Jaya, iaitu pelan pembangunan negeri Sabah untuk tempoh 2021-2025.
SMJ adalah hala tuju dasar dan program kerajaan negeri Sabah, manakala GRS merupakan gabungan parti politik tempatan di Sabah yang mempunyai komponen parti terbanyak di Malaysia dengan keahlian sebanyak lapan parti tempatan PGRS, PBS, STAR, LDP, SAPP, Parti Harapan, PCS dan USNO.
Sehubungan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada Omon (Jude Maxwell Mungkit) dan Jack Hankwell Mungkit pasukan anak beradikatas segala sokongan dan bantuan sepanjang proses penulisan buku ini.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Datuk Lichong Angkui kerana membenarkan artikelnya berjudul My Journey, Indahnya Kisah Masa Lalu dimuatkan dalam buku ini.
Datuk Lichong Angkui adalah Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah dan ahli Majlis Pentadbir ISWAMI Malaysia (Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia).
Lichong adalah tokoh wartawan yang proaktif dalam menyelamatkan industri penerbitan yang semakin terancam.
Semoga buku Membaca Minda Hajiji dapat memberikan manfaat kepada pembaca sesuai dengan harapan Hajiji:
“Saya percaya setiap orang mempunyai cerita untuk diceritakan, dan semua cerita membawa tipu daya, makna, mesej dan pengajaran mereka yang tidak ternilai untuk generasi akan datang.
"Kita semua mempunyai dorongan semula jadi untuk berkongsi dan menerangkan tindakan, reaksi dan pengalaman kita, dengan harapan dapat meninggalkan warisan kebijaksanaan.”
Saya menyanjung tinggi buku My Journey. Pada hemat saya, buku ini paling sesuai diulas pengkritik buku, namun pada masa yang sama saya jika belum ada yang memulakan sebaiknya saya memberanikan diri mengulas semampunya sebagai pemula, dengan harapan usaha kecil saya ini menjadi pendorong kepada penulis yang lebih pakar mengesan kebaikan-kebaikannya.
Saya menyedari bahawa Membaca Minda Hajiji masih jauh daripada sempurna.
Justeru, kritik dan saranan yang membangun sangat diharapkan demi permurnian di masa depan.
Hal ini mengingatkan saya betapa pentingnya penilaian buku. Ramai penulis di Sabah yang dilahirkan Dewan Bahasa dan Pustaka atau persatuan-persatuan penulis.
Kebanyakan mereka telah menghasilkan buku tetapi sedihnya kebanyakan karya mereka tidak dinilai.
Buku bukan setakat dibaca sahaja, ia perlu dinilai untuk mengesan kebaikan-kebaikannya kepada masyarakat.
Apakah karya itu mampu memberi pengajaran, motivasi atau inspirasi kepada pembaca.
Pada hemat saya, selemah-lemah karya ada juga baiknya tetapi pada umumnya, orang membaca buku untuk hiburan dan hanya penilai buku sahaja yang bersungguh-sungguh menganalisis buku melebihi hiburan.
Banyak kerugian kepada penulis, pembaca, dan industri penerbitan jika buku tidak dinilai.
Tanpa ulasan atau kritikan, penulis tidak tahu apa kekuatan atau kelemahan karya mereka. Hanya dengan adanya penilaian maklum balas yang membina dapat diketahui penulis.
Maklum balas ini adalah penting bagi penulis memperbaiki penulisan dan seterusnya menghasilkan karya yang lebih bermutu pada masa depan.
Selain daripada itu, penilaian buku adalah antara cara paling berkesan untuk mempromosikan karya.
Tanpa penilaian, karya akan tenggelam kerana gagal bersaing dalam pasaran buku dan ini sudah tentu buku sukar sampai kepada pembaca.
Sungguhpun menulis adalah menggembirakan namun, prosesnya memerlukan masa, tenaga, dan emosi yang berat.
Jika karya yang dihasilkan tidak mendapat sambutan, penulis mungkin akan hilang motivasi untuk terus berkarya. Hanya dengan penilaian buku, perkara ini dapat dielakkan.
Biasanya anugerah dan pengiktirafan selalunya diberikan kepada buku-buku yang telah dinilai dan dianggap cemerlang.
Tanpa penilaian, sesebuah karya tidak berpeluang untuk dicalonkan untuk sesuatu anugerah umpamanya SEA Write Award (the Southeast Asian Writers Award), Sasterawan Negara, Sasterawan Negeri Sabah dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Penilaian buku adalah penting bagi pembaca, terutama pembaca tegar.
Mereka tidak membaca buku secara sembarangan. Dalam hal ini, penilaian membantu pembaca kategori ini menentukan sama ada buku itu sesuai dengan minat mereka atau tidak.
Tanpa penilaian, pembaca akan kecewa dengan isi buku tersebut.
Penilaian buku selalunya mencetuskan perbincangan dalam kalangan pembaca.
Ini membolehkan pembaca berkongsi pandangan dan bertukar idea tentang buku tersebut.
Interaksi ini mampu mewujudkan keadaan di mana proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara tidak langsung. Tegasnya penilaian buku amatlah penting untuk mendidik masyarakat.

Sebenarnya, banyak karya yang berkualiti tetapi tidak terkenal. Penilaian daripada pengkritik boleh membantu mengesan karya berkualiti.
Lagipun, jualan buku sangat dipengaruhi hasil penilaian buku. Biasanya, buku yang tidak dinilai sukar dijual. Ini akan merugikan penerbit, penulis dan kedai buku.
Penilaian buku menghasilkan maklumat penting bagi perniagaan buku, malahan mereka bergantung kepada data penilaian buku untuk memahami trend pasaran, minat pembaca dan genre yang disukai ramai.
Tanpa penilaian, maklumat ini sukar didapati, menjadikan perancangan penerbitan baharu lebih berisiko.
Maklum balas dari pembaca tentang buku juga membantu penerbit mengenal pasti jenis buku yang perlu diterbitkan.
Tanpa maklum balas, penerbit mungkin akan membuat keputusan yang kurang tepat dan penerbitan buku berkenaan tidak menguntungkan penerbit.
Dalam konteks My Journey karya Hajiji, saya menilainya untuk mengesan sejauh manakah pengalaman hidup yang dilalui telah mempengaruhi fikiran, sikap dan tindakannya untuk kepentingan rakyat dan Negeri Sabah.
Credit: Utusan Borneo





Comments