TINGKATKAN TARAF HIDUP RAKYAT, FOKUS PEMBANGUNAN EKONOMI.
- Jun 7
- 1 min read

KOTA MARUDU – Pengerusi PERKOM, Dato' Dr. Janathan Kandok, menggesa agar landskap politik di
Kota Marudu beralih kepada pendekatan yang lebih strategik dengan memberi fokus kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
Menurut Dato' Dr. Janathan, aktiviti politik pada masa ini perlu menterjemahkan SMJ kepada impak ekonomi yang dirasai oleh rakyat. Beliau
menegaskan bahawa fokus utama kini adalah untuk membantu kerajaan negeri menyebarluaskan
kefahaman mengenai Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Adalah menjadi keutamaan kita untuk memastikan rakyat di Kota Marudu memahami sepenuhnya
matlamat SMJ. Apabila rakyat faham, mereka akan lebih bersedia untuk melibatkan diri secara aktif dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif kerajaan. Ini bukan sahaja membantu kerajaan, malah memastikan
kemakmuran dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat," ujar beliau.
Dato' Dr. Janathan menambah bahawa keterlibatan aktif rakyat dalam agenda SMJ merupakan elemen
strategik bagi memperkukuh kestabilan dan sokongan terhadap kerajaan. Beliau yakin bahawa dengan menekankan pendidikan dasar kerajaan serta penyelesaian masalah tentang pembangunan ekonomi rakyat, kepercayaan rakyat kepada pemimpin akan terus meningkat.
Beliau turut menyeru semua pihak di peringkat kampung-kampung di Kota Marudu untuk bekerja sebagai satu pasukan, meletakkan agenda rakyat di hadapan, dan memastikan maklumat mengenai bantuan serta peluang di bawah SMJ sampai ke akar umbi di setiap pelosok Kota Marudu.





Comments