DR. JANATHAN SINGKAP RAHSIA SIMPAN WANG
- 13 hours ago
- 2 min read

Gambar- Janathan (depan) bersalaman dengan peserta perkhemahan
KOTA MARUDU: Suasana perkhemahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 meriah dengan pengisian berbeza apabila program Perkhemahan Integrasi Unit Beruniform Tahun 2026 turut diselitkan dengan ceramah motivasi dan literasi kewangan yang disampaikan Dato’ Dr. Janathan Kandok, Timbalan Pengerusi POIC Sabah.
Mengambil semangat ketahanan fizikal di tapak kem, Dr. Janathan yang juga penerima Anugerah Sadtera Perdana Malaysia memulakan ucapannya dengan memetik kata-kata inspirasi pejuang kemanusiaan agung, Nelson Mandela:
Sentiasa kelihatan mustahil sehingga ia selesai. Begitu juga rasanya apabila kita mula belajar menyimpan wang. Pada mulanya, ia kelihatan mustahil, dan membataskan kehendak kita. Tetapi sejarah membuktikan, pemimpin yang hebat dan individu yang berjaya bermula dengan satu ketetapan kecil: disiplin menabung hari ini untuk kekuatan esok hari.”
Sambil membawa audiens bernostalgia dengan cerita masa kecil yang serba sederhana—mengingat kembali pemberian wang saku sebanyak 5 sen (Jaimis Sangkin) dan 20 sen (Solisu Adun) pada era 1960-an—beliau berkongsi pengalaman kerjaya awalnya. Beliau menceritakan bagaimana gaji asas sebanyak RM220 ditambah dengan kerja lebih masa (overtime) sebanyak RM800 sebulan, 50 tahun lalu diuruskan dengan menyusun wang kertas di bawah tilam, berbekalkan impian besar untuk mengubah nasibnya.
Beliau menegaskan bahawa menyimpan wang bukanlah satu perkara mudah jika tiada disiplin, di mana tanpa perancangan yang betul, usaha mengumpul simpanan sebanyak RM10,000 sahaja boleh memakan masa sehingga 20 tahun.
Bagi memastikan para pelajar tidak mengulangi kesilapan lampau dan mampu menguruskan kewangan dengan sistematik apabila melangkah ke alam kerjaya kelak,
Dr. Janathan mencadangkan penggunaan pelbagai akaun bank secara praktikal, di mana gaji utama dimasukkan ke dalam satu akaun sebelum dipindahkan secara automatik ke bank lain mengikut peratusan yang ditetapkan—seperti RHB untuk tabung kecemasan, Agrobank untuk sedekah, Bank Rakyat untuk perbelanjaan poket, dan ASB khusus untuk pelaburan.
Sebagai kemuncak ucapannya yang membakar semangat, beliau memberikan unjuran matematik kewangan yang amat membuka mata. Apabila pelajar di dalam alam kerjaya nanti memperolehi pendapatan sekitar RM1,500 sebulan dan mengamalkan disiplin menyimpan RM150 sebulan secara konsisten selama 60 tahun ke dalam ASB, kuasa faedah kompaun jangka panjang berupaya menjana pulangan terkumpul boleh melebihi RM1.4 juta.
Program Perkhemahan Integrasi Unit Beruniform SMK Tandek 2 2026 ini diharap bukan sahaja membentuk jati diri pelajar, malah menjadi batu asas melahirkan generasi muda Kota Marudu yang mempunyai budaya melabur wang, berdaya tahan, dan berwawasan tinggi.
Hadir dalam majlis perkhemahan itu, Amiluddin Bin Majuki, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Said Ambar, Penolong Kanan Pentadbiran Rosminah Binti Sait, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Majawal Timbuong, Penolong Kanan Kokurikulum, Jeson Majimal, Pengarah Program, Prissla Jati, barisan guru penasihat, ketua bidang, kakitangan sekolah, serta seluruh peserta perkhemahan.
Turut hadir pemimpin-pemimpin NGO dan masyarakat Datin Justina Tuyundo, Singan Lingkubang, Magimbal Ibun, Helija Haris, Sakira Abd Gafar, Fatimah Majingkal dan DM Herrynewr Jeson.
Dipetik dari: www.jesseltontimes.com



Comments